Anthony Loke Siew Fook. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JUN 2019
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan telah memberi ‘lampu hijau’ bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Menterinya, Anthony Loke berkata, kelulusan diberikan selepas pertimbangan yang teliti dan menyeluruh terhadap permohonan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Kerajaan Pulau Pinang kepada Kementerian Pengangkutan pada 16 Julai 2019.

Kelulusan itu, menurutnya, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu mengikut peruntukan di bawah Seksyen 83
dan 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Bagaimanapun, katanya, Pulau Pinang perlu mempamerkan dokumen projek berkenaan selama tiga bulan untuk penilaian dan maklum balas orang ramai.

Dokumen-dokumen yang lengkap berkenaan projek tersebut akan dipamerkan di tempat awam termasuk pejabat-pejabat kerajaan yang akan diumumkan dalam tempoh masa yang terdekat.

Untuk memenuhi kehendak semasa dan menambahbaik tahap ketelusan urus tadbir kerajaan, pihak pemohon juga akan diminta
memuatnaik semua dokumen berkenaan melalui laman web kepada semua.

“Selepas selesai penilaian terhadap maklum balas yang diterima semasa sesi pameran pemeriksaan awam, satu lagi permohonan
kelulusan muktamad skim kereta api hendaklah dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan untuk kelulusan mengikut keperluan Seksyen 84 (5) Akta 715,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Projek LRT Bayan Lepas adalah projek rel yang menjadi tunjang kepada pengangkutan awam berasaskan rel di Pulau Pinang seperti yang dirancang di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Projek itu sepanjang 29.9km dan terdapat 27 buah stesen yang dicadangkan di sepanjang jajaran tersebut.

Jajaran LRT bermula dari Komtar dan akan melalui kawasan-kawasan bandar seperti Gelugor, Bayan Baru, Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum berakhir di cadangan tanah tebus guna penambakan selatan Pulau Pinang (PSR). – MalaysiaGazette