Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tarikh 16 Julai 2019 yang menyaksikan Rang Undang-Undang berkaitan had umur mengundi 18 tahun diluluskan sebuat suara di Dewan Rakyat.

Ia dianggap sebagai permulaan gelombang baharu rakyat membentuk kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat memilih serta menghapuskan ketidakupayaan pemerintah sekarang, kegagalan menunaikan janji serta pelbagai kebobrokan politik, ekonomi, sosial dan moral dalam pentadbiran negara.

“Sesungguhnya 16 Julai 2019 adalah hari kemenangan dalam perjuangan blok pembangkang dengannya hampir lapan juta pengundi baharu bakal mengundi kali pertama PRU-15.

“Pembangkang bukan sekadar melihat dari sudut mengiktiraf peranan generasi muda tetapi melihat dari sudut hak rakyat secara keseluruhannya dalam usaha merakyatkan proses demokrasi dalam negara kita.

“Kelayakan umur tidak semestinya melayakkan seseorang pengundi kerana sejak 1959, mereka perlu berdaftar dan memohon untuk menjadi seorang pengundi.

“Namun dengan pindaan yang disyorkan oleh blok pembangkang ini semua rakyat automatik mendapat hak ini apabila usia mereka mencecah 18 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar merakamkan penghargaan kepada 211 ahli parlimen tanpa mengira parti yang telah mengundi menyokong pindaan perlembagaan itu bagi membolehkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas secara automatik didaftar sebagai pengundi serta layak diundi jika menjadi calon dalam pilihan raya.

Justeru katanya, seperti yang disebutkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu pembentangan RUU berkenaan, syor itu adalah syor blok pembangkang khasnya Barisan Nasional, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Dan ini adalah syarat bagi membolehkan blok pembangkang menyokong usul pindaan Perlembagaan menurunkan had umur mengundi yang sememangnya dipersetujui semua pihak.

“Menurunkan had umur, memberi ruang kepada 500,000 pengundi baharu setiap tahun, manakala pendaftaran automatik kepada lebih empat juta pengundi yang sungguhpun layak dari segi umur tetapi tidak terdaftar sebagai pengundi,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette