Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR – Seramai 12.49 juta penduduk negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Jumlah itu adalah merupakan 38.2 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 5.9 juta atau 18.1 peratus mendapat dos lengkap vaksin.

Ini bermakna sebanyak 18.4 juta dos vaksin sudah diberi kepada rakyat negara ini, katanya.

“Sebanyak 53.3 peratus orang dewasa daripada keseluruhan populasi rakyat negara ini sudah menerima satu dos vaksin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Menurut Khairy lagi, kira-kira 25.2 peratus populasi dewasa sudah menerima dos lengkap.

Ujarnya, bagi petugas barisan hadapan, dalam fasa pertama program vaksinasi, seramai 695,000 selesai dos lengkap iaitu 195 peratus lebih tinggi daripada sasaran awal 500,000 orang.

“Kumpulan fasa kedua pula sehingga25 Julai lalu mencatatkan 93 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas yang sudah mendaftar menjadi penerima vaksin, menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” ujarnya yang merupakan Ahli Parlimen Rembau. – MalaysiaGazette