Mohd Khuzzan Abu Bakar

JOHOR BAHRU – Seramai 39 pelajar dari lima buah sekolah di Pasir Gudang mengalami simptom muntah dan sesak nafas, pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar bagaimanapun berkata, tiada pelajar yang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan susulan kerana semuanya hanya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Masai.

Katanya, insiden yang berlaku sehingga pukul 2.00 petang itu membabitkan 30 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, enam pelajar SK Kopok dan masing-masing seorang pelajar dari SK Kota Masai, SK Pasir Gudang 4 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort.

“Jabatan kesihatan telah mengambil sampel air kencing pelajar terbabit untuk dianalisis bagi mengesan bahan yang menyebabkan mereka mengalami simptom sesak nafas dan muntah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah memandang ringan kes itu seperti didakwa sesetengah pihak.

“Malah, saya turut dimaklumkan, Jabatan Alam Sekitar akan memberikan ganjaran kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung pencemaran alam sekitar terutama di Pasir Gudang.

“Sehingga hari ini, agensi yang terlibat sentiasa mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa, termasuk pemantauan berterusan kualiti udara di Pasir Gudang.- Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.