Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua kiri) mencuba makanan ketika melawat pameran pada Majlis Pelancaran Program Citarasa Malaysia di Tesco Mutiara Damansara, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 18 JULAI 2019

PETALING JAYA – Sebanyak 9 produk tempatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dijual dalam pesawat AirAsia.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ia merupakan satu pencapaian yang perlu dibanggakan apabila produk tempatan pelbagai kategori menjadi pilihan syarikat penerbangan yang disifatkannya sangat teliti dalam membuat pilihan itu.

“Awal tahun ini saya adakan perbincangan dengan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, untuk AirAsia beri ruang produk PKS dibuat ‘inflight menu’ .

“Menerusi rundingan itu AirAsia bersetuju KPDNHEP cadangkan nama, sudah tentu Ai Asia akan tapisannya yang ketat. Selepas itu 9 daripada produk PKS tempatan telah berjaya dimasukkan oleh AirAsia dalam ‘inflight menu’,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Citarasa Malaysia di Tesco Mutiara Damansara hari ini.

Dalam pada itu tambah Saifuddin, sebanyak 500 produk lagi masih dalam tapisan syarikat penerbangan tambanh murah itu untuk dipasarkan dalam platformnya di internet menerusi aplikasi tertentu.

Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin berkata, sehingga kini sebanyak 111 buah syarikat PKS tempatan berjaya memasarkan produk mereka di rangkaian pasar raya besar Tesco di seluruh negara.

Sehingga 31 Disember tahun lalu, katanya, sebanyak 841 jenama produk tempatan PKS berjaya disenaraikan di semua rangkaian pasar raya besar asing di Malaysia.

Dalam pada itu sehingga 31 Jun tahun ini, sebanyak 1,745 pelbagai jenama dan produk PKS telah berdaftar dengan KPDNHEP bagi tujuan bantuan promosi, yang mana hampir 17 peratus daripadanya telah menembusi pasaran pasar raya besar. – MalaysiaGazette