Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media pada majlis Pelancaran Aplikasi Telefon Pintar Respons Rakyat di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan akan membincangkan fungsi tugas dan tanggungjawab setiausaha politik dengan jelas dalam melaksanakan tugas di kementerian.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu antara yang dipersetujui secara prinsip dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) hari ini.

“Pada awalnya, setiausaha politik ini diwujudkan bagi menolong menteri untuk menghubungkan rakyat di kawasannya tapi ada kes berlaku dalam kerajaan lalu, ada yang terbabit dalam agihan kontrak.

“Ini bukan tugas setiausaha politik, jadi kita hendak kembalikan tugas mereka sebagai perantara menteri dan rakyat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat JKKMAR Kali Ke-9 di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Pada masa, Mahathir memberitahu, JKKMAR turut bersetuju untuk mewujudkan format dan gerak kerja atau prosedur bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam menjalankan peranannya dalam urusan perlantikan calon ke jawatan penting kerajaan.

“Kerajaan bersetuju bahawa terdapat jawatan dalam perlembagaan dan akta dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas ini supaya perincian calon yang sesuai dan berwibawa untuk jawatan ini dapat dikemukakan.

“Seperti perlantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lalu, saya menggunakan prosedur sedia ada seperti mana yang termaktub di dalam akta.

“Selepas ini, terdapat empat jawatan penting yang tersenarai di dalam akta yang akan menggunakan prosedur lantikan ini iaitu Pengerusi dan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Suruhanjaya Kehakiman dan anggota SUHAKAM,” katanya.

Mahathir berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan beberapa syor bagi mengukuhkan kebebasan Jabatan Audit Negara yang dikemukakan oleh Jabatan Audit Negara.- MalaysiaGazette