Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diminta jangan mudah melenting kerana ia seakan-akan beliau bersalah dalam isu video seks.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Sabah, Razeef Rakimin berkata, Azmin juga jangan mudah melatah.

Ia termasuk sikap Timbalan Presiden PKR itu terhadap kenyataan presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Maksud Anwar amat jelas bahawa tiada keperluan untuk Azmin meletak jawatan mahupun dipecat kerana masih dalam siasatan namun reaksi yang diberikan Azmin sangat mengejutkan.

“Beliau (Azmin) dengan angkuh berkata; ““Baca gerak bibir saya, beritahu dia (Anwar) dia perlu melihat lelaki di dalam cermin. Muhasabah. Suruh Anwar muhasabah. Tolong refleks muka sendiri dalam cermin.”

“Reaksi berlebihan yang ditunjukkan Azmin seolah menunjukkan beliau bersalah namun ingin mengalihkan isu atau menuding jari kepada Anwar atas pertuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap Anwar dulu.

“Jika apa yang dimaksudkan Azmin adalah tuduhan liwat terhadap Anwar dulu, Azmin perlu ingat. Kes liwat 1 Anwar didapati tidak bersalah oleh mahkamah dan Anwar dipenjara pada tahun 1998 kerana didakwa salahguna kuasa.

“Kes liwat 2 pula Anwar diberi pengampunan penuh kerana lembaga pengampunan dapati terdapat keraguan dalam hukuman Anwar. Anwar tidak bersalah mengikut undang-undang,” kata Razeef.

Justeru, menurutnya, adalah lebih baik Azmin membersihkan namanya dengan membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang terhadap Haziq Abdul Aziz yang mengaitkannya dalam video seks berkenaan bukan dengan menghantar setiausaha politiknya ‘berunding’ dengan Haziq.

Menurutnya, ia berbeza dengan gambar fitnah Anwar yang pernah disebarkan sebelum ini di mana pelaku dalam gambar berkenaan, dalang penyebaran tidak dapat dipastikan serta tidak ada sebarang laporan polis dilakukan.

“Berbeza dengan kes Azmin yang jelas tertuduh (Haziq) sendiri mengakui sebagai individu dalam video berkenaan dengan video yang cukup jelas,” katanya.- MalaysiaGazette