Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada majlis Pelancaran Aplikasi Telefon Pintar Respons Rakyat di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri akan berlaku apabila tiba waktunya, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ini kerana apa yang akan berlaku itu melibatkan masa depan.

“Itu adalah masa akan datang. Bila tiba waktu, ia akan berlaku,” katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran Aplikasi Telefon Pintar Respons Rakyat dan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah Kali Ke-9 di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Mahathir diminta mengulas pertelingkahan yang melanda PKR yang melibatkan dua pemimpin utamanya iaitu presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak semalam akan melambatkan proses peralihan kuasa kelak.

Ditanya lagi sama ada konflik dalam PKR menjadi beban dan masalah kepada Pakatan Harapan, Mahathir berkata, ia terpulang kepada pihak media membuat penilaian.

“Saya ada banyak benda hendak fikir dan tidak ada masa hendak fikir,” katanya.

Hari ini sebanyak 22 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan empat ahli parlimen PKR menegur Anwar.

Mereka tidak bersetuju dengan kenyataan Anwar yang mahu Mohamed Azmin bercuti sekiranya video seks yang dikaitkan dengannya itu tulen.

Semalam, Mohamed Azmin membidas kenyataan Anwar tentang gesaan untuk bercuti dan meletakkan jawatan dalam kerajaan dan parti.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata dengan tegas bahawa Anwar harus cermin diri sendiri daripada memberikan komen tentang dakwaan video intim yang dikaitkan dengan dirinya, bulan lalu. – MalaysiaGazette