Shamsul Iskandar Mohd Akin

KUALA LUMPUR – Semua pihak digesa supaya berhenti daripada membuat sebarang spekulasi kononnya berlaku pergolakan dalam parti PKR.

Ketua Penerangan parti berkenaan, Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan, tidak ada sebarang pergolakan berlaku di dalam parti yang kini menjadi kerajaan meskipun timbul isu berkaitan video seks sejenis mirip seorang menteri yang kini didapati sahih.

“Pergolakan? Presiden kata tidak ada pergolakan. Presiden adalah Anwar, timbalan presiden pula Azmin. Jadi, tiada isu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan yang ditandatangani 27 pemimpin dan wakil rakyat PKR apabila mempersoalkan tindakan Anwar “memecah belahkan kesatuan parti” kerana menyokong gesaan meminta Azmin bercuti sehingga siasatan selesai atau meletakkan jawatan jika video tersebut sahih.

Shamsul menasihatkan mereka supaya lebih cermat pada masa akan datang.

“Sembunyikan kekuatan anda, tunggu peluang yang baik,” ujarnya.

Sebelum ini, ketua penerangan PKR itu menggesa pemimpin yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku patut membantu pihak berkuasa dengan “bercuti sementara” sehingga siasatan selesai

Langkah itu adalah bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan bebas dan adil.

Shamsul hari ini turut meminta pimpinan parti menghormati Azmin yang sedang berdepan masa sukar. – MalaysiaGazette