Farhan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Farhan Ibrahim menyifatkan perjalanan Liga Malaysia akan lebih bermakna jika diriingi keghairahan daripada penyokong yang kini menjadi antara elemen penting dalam empat misi utama Malaysian Football League, MFL Next50 Strategic Blueprint 2021-2070.

Jelasnya, penyokong perlu menganggap diri mereka sebagai satu nadi utama dalam menggerakkan perjalanan Liga Malaysia dengan lebih berjaya dan meriah apabila mereka juga tidak ketinggalan dalam perancangan tempoh 50 tahun MFL.

Walaupun setiap pasukan mempunyai kelompok penyokong yang berbeza, tetapi Farhan merasakan tidak mustahil penyokong pasukan kecil seperti PKNS FC, PJ City atau Felda United juga meningkat daripada semasa ke semasa.

Tambahnya, penyokong pada masa kini pastinya lebih bijak dan matang untuk melihat penglibatan mereka dalam menyokong pasukan bagi membantu perkembangan pasukan.

“Yang penting sekarang adalah sudut daripada penyokong itu sendiri kerana penyokong kena faham terutamanya daripada segi pengurusan liga.

“Mereka perlu melibatkan diri supaya sambutan terhadap liga akan lebih bermakna dengan penyokong atau peminat di tanah air ini.

“Ada juga kelab-kelab yang mungkin tidak ramai penyokong tetapi mungkin selepas ini bila kita rangka program ini, saya jangka kelab seperti Felda, PKNS dan PJ City akan ada kelompok penyokong sendiri nanti,” kata Farhan.

Sementara itu, pengurus pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid pula melihat Next50 Strategic Blueprint ini amat tepat dan selaras dengan perancangan DNA bola sepak Malaysia yang telah dilancarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

Jelasnya, ini adalah masa untuk semua kelab dan pasukan menjadikan perancangan 50 tahun MFL ini sebagai satu landasan untuk membentuk kaedah dan strategi terbaik dalam menjadikan sesebuah pasukan lebih berjaya seiring dengan matlamat DNA bola sepak Malaysia.

“Sejajar dengan apa FAM war-warkan untuk DNA bola sepak Malaysia, pelancaran blueprint ini amat tepat. Saya rasa semua kelab yang terlibat melalui penglibatan akademi-akademi patut boleh lihat apa yang MFL telah gariskan ini.

“Sebenarnya banyak faedah boleh kita dapati dan sebagai satu penanda aras yang boleh kita lakukan untuk sebarang aktiviti atau merancang program seterusnya untuk kelab atau pasukan itu sendiri,” kata Mahfizul. – MalaysiaGazette