Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muyiddin Yassin ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Pergeseran antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berlaku ketika ini diharap akan berakhir dalam masa yang singkat.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sentiasa berdoa dan berharap dapat melihat sesuatu yang positif di sebalik pergeseran di dalam PKR itu.

“Semestinya isu berkenaan tidak baik untuk pihak kami, kerajaan dan juga masyarakat di negara ini.

“Jadi, biarkan mereka sejuk dahulu dan kita teruskan berdoa,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Mohd Rashid Hasnon pula berharap, persahabatan Anwar dan Azmin harus dikekalkan kerana banyak lagi kerja yang perlu dibangunkan bersama Pakatan Harapan (PH).

“Saya turut berasa sedih atas apa yang berlaku pada ketika ini. Kedua-duanya (Anwar dan Azmin) berjiwa besar dan mereka sepatutnya bersatu.

“Kami masih berharap Anwar dan Azmin mengadakan pertemuan untuk berbincang perkara ini,” katanya yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Datuk Mohd Rashid Hasnon
Datuk Mohd Rashid Hasnon

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, PKR dijangka membincangkan perkembangan terkini video intim yang didakwa melibatkan seorang pimpinan kanan parti itu dalam program pemukiman (retreat) parti berkenaan minggu ini.

Katanya, program ‘retreat’ itu dijangka dihadiri oleh semua pimpinan parti tersebut dan dari situ perbincangan di antara mereka perlu diadakan.

“Bagi saya parti boleh berbincang tentang perkara ini semasa kita adakan pemukiman yang bermula esok hari. Di situ kita akan dapat maklumat yang lebih rasmi, pada waktu ini cuma berdasarkan laporan media.

“Saya rasa mungkin ia masih pramatang untuk buat apa-apa keputusan, apapun perbincangan di antara pimpinan perlu diadakan mengambil kira pandangan-pandangan termasuk yang terbaru. Insya-Allah, ‘retreat’ ini akan dihadiri semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette