Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak terkilan dengan penahanan pengerusi mereka Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi membantu siasatan berkenaan video yang dikaitkan dengan menteri kabinet baru-baru ini.

Majlis itu berpendirian bahawa ketua mereka tidak terlibat dalam kemunculan video seks itu sebaliknya menyifatkan apa juga tuduhan melibatkan Farhash adalah tidak berasas.

Justeru menerusi kenyataan MPN negeri itu berharap agar polis tidak bersikap prejudis dalam menyiasat kes berprofil tinggi seperti ini.

“PKR Negeri Perak berasa amat terkilan dengan penahanan serta tuduhan ini namun kami ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat dan anggota PKR di seluruh negeri ini bahawa kami tidak terjejas dengan isu penahanan ini dan kami tegaskan bahawa beliau tidak bersalah terhadap tuduhan yang tidak berasas ini.

“Kami berharap proses undang-undang yang telus didaulatkan di dalam episod penahanan dan tuduhan kepada Pengerusi PKR Negeri Perak ini.

“Dalam hal berkaitan, kami amat berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tanpa prejudis dan tanpa ‘Selective Investigation or Procecution’ serta telus dalam menyiasat kes berprofil tinggi seperti ini,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, polis masih dituntut untuk memberi pengesahan sama ada video tersebut tulen atau sebaliknya.

“Perkara pokok kes ini iaitu kesahihan dan ketulenan video gay mirip Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ini masih lagi tidak disahkan oleh pihak PDRM. Rakyat seluruhnya menuntut penjelasan dan kesahihan tentang pelaku dan ketulenan video tersebut. Profesionalism dan ketelusan yang tinggi di dalam penyiasatan semua kes yang dilaporkan kepada pihak PDRM amatlah dinilai dan ditagih,” tambahnya.

Dalam masa yang sama PKR negeri itu mendakwa pengerusi mereka yang ditahan reman sejak semalam oleh polis tidak diberi makan selama 24 jam.

Justeru PKR peringkat negeri itu menyuarakan ketidakpuasan hati dengan tindakan itu sekiranya benar kerana disifatkan tindakan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Berhubung dengan penahanan ini, kami mendapati bahawa Pengerusi KEADILAN Negeri Perak, tidak diberi sebarang makanan hampir 24 jam. Justeru, kami berpandangan sangat tidak wajar perkara ini berlaku kerana kita di bawah pentadbiran Malaysia Baharu, namun masih ada elemen-elemen tidak berperikemanusiaan di dalam melayani orang-orang yang ditahan. Perkara ini perlu diaudit dan disemak semula oleh pihak yang berwajib,” tambah kenyataan itu.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang juga merupakan Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak semalam ditahan selama empat hari bagi membantu siasatan video seks luar tabii bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz intim yang dikaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebelum ini.

Terdahulu dilaporkan tiga individu termasuk seorang setiausaha politik berusia 29 hingga 37 tahun ditahan di sekitar Johor Bahru kira-kira pukul 2.30 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Ahad lalu, Haziq Abdullah serta lima lagi lelaki di sekitar Lembah Klang dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.-MalaysiaGazette