Saksi, Cheah Tek Kuang hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 17 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International yang melibatkan dakwaan penyewelengan dana sebanya RM42 juta dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah masuk hari ke-40 dengan menyaksikan saksi ke-50 menyambung keterangan semalam.

Bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Cheah Tek Kuang, 72 semalam mendedahkan beliau telah bertemu dengan ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low di rumah Najib di Langgak Duta pada pertengahan 2011.

Kata Tek Kuang, Jho Low kemudian memperkenalkan beliau dengan Najib bagi tujuan membuka akaun peribadi Ambank.

Jho Low turut meminta pegawai bank yang memproses akaun itu untuk menggunakan kod nama ‘AmPrivate Banking – MR’ bagi akaun semasa Najib dengan alasan ia perlu diuruskan dengan penuh kerahsiaan.

Ketika diasak oleh peguambela Najib, Harvinderjit Singh semalam berhubung transkrip BlackBerry Messenger antara Joanna Yu yang merupakan Pengurus Perhubungan bagi akaun Najib di Ambank dengan Tek Kuang, ada juga pendedahan lain.

Malah Joana merupakan indvidu yang menghubungi Tek Kuang dan memberitahu Najib berminat untuk membuka akaun simpanan dan semasa dengan Ambank.

Harvinderjit: Ada setuju bahawa Joanna beritahu anda bahawa Jho Low menghubungi saya mengatakan Najib mahu membuka akaun.

Tek Kuang: Ya. Beliau berkata adalah lebih elok sama ada pengerusi atau saya yang mengendalikan perkara itu membuka akaun Najib.

Harvinderjit juga menyoal tentang beberapa baris pesanan antara Joana dan Tek Kuang terutamanya tentang perbualan berkaitan pemindahan wang derma Arab Saudi.

Antaranya seperti  ‘pemindahan berjaya sebanyak US$620 juta daripada ‘akaun relevan’ pada 2013 yang mana Tek Kuang menjawab kembali kepada Joana, ‘anda mesti lega’.

Harvinderjit juga bertanya tentang mesej Joanna yang dihantar kepada saksi yang berkata, ‘Mr Low akan datang ke bandar’, namun enggan memberi kepastian seandainya itu merujuk kepada Jho Low.

Tek Kuang juga didapati menghantar pesanan kepada Joanna sama ada beliau ‘berjaya mendapatkan lelaki muda itu’ yang kemudian Harvinderjit menyoal jika merujuk kepada Jho Low.

Harvinderjit: Siapakah orang muda itu? Adakah itu Jho Low?

Tek Kuang: Hmmm, mungkin, atau mungkin tidak. Saya tidak pasti.

Ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit juga saksi itu berkata Najib mahu membuka akaun itu bagi menerima derma dari Arab Saudi.

Ditanya berapa jumlah derma itu, Tek Kuang menjawab, jumlah itu antara AS$100 juta atau AS$200 juta tetapi tidak pasti.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini dengan soal balas antara Harvinderjit dan Tek Kuang sekitar jam 9.15 pagi ini. –MalaysiaGazette