Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Mohamad Ariff Md Yusof tidak akan mempengerusikan perbahasan di Dewan Rakyat untuk merujuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas dakwaan mengelirukan Dewan Rakyat.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila memberitahu, penarikan diri Speaker Dewan Rakyat itu adalah selepas wakil-wakil rakyat pembangkang menimbulkan isu konflik kepentingan ketika perbahasan pagi tadi.

Ia selepas Mohamad Ariff mengakui bahawa anak lelakinya bekerja sebagai Setiausaha Akhbar kepada ahli Parlimen Bagan itu.

“Speaker sudah umumkan bahawa isu ini dia tidak akan terlibat,” kata Ismail kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat bertelingkah selepas Mohamad Ariff memutuskan Guan Eng tidak akan dirujuk ke jawatankuasa itu, kerana “tiada unsur prima facie” yang boleh mengatakan menteri itu telah mengelirukan Dewan.

Pertelingkahan mengenai penggunaan istilah “rompak” oleh Guan Eng berlaku pada Ogos lalu apabila beliau mendakwa kutipan GST “dirompak” kerajaan terdahulu dan ia timbul selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan tiada kehilangan wang.

Menurut Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad, kerajaan sebelum ini telah terlebih anggar hasil GST bersih yang dikutip pada kadar 65 peratus daripada jumlah kutipan hasil GST.

Jelasnya, penangguhan pemindahan dana dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara supaya tidak berada dalam keadaan defisit pengurusan di mana perbelanjaan mengurus tidak boleh melebihi hasil.

Dengan itu, PAC katanya, mengesyorkan kerajaan supaya pentadbiran kerajaan perlu memastikan pematuhan penuh undang-undang negara khasnya dalam pelaksanaan tatacara kewangan supaya sistem pentadbiran kewangan lebih teratur dan berakauntabiliti. – MalaysiaGazette