Saksi, Cheah Tek Kuang hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 18 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Para hadirin bagi perbicaraan SRC International gamat seketika apabila saksi ke-50 bagi prosiding itu memberi gambaran buruk terhadap ahli perniagaan kontroversi yang kini buruan pihak berkuasa, Jho Low atau Low Taek Jho.

Bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Cheah Tek Kuang dalam keterangannya mendakwa Jho Low adalah seseorang yang tidak boleh dipercayai malah mempuyai sikap buruk seperti tidak menepati masa.

Dengan riak wajah seolah-olah marah dan meluat ketika sesi soal balas dengan peguam bela, Harvinderjit, Tek Kuang  mendedahkan diri tidak menyukai lelaki tersebut.

“Saya beritahu kamu tentang orang jenis apa Jho Low ini. Saya langsung tidak sukakan lelaki ini. Dia ini jenis yang tidak tepati masa, jika dia kata 1.30 tapi tidak akan datang 1.30 tengah hari.

“Dia (Jho Low) ini penipu Saya langsung tidak suka dia, sangat meluat adalah. Sebenarnya langsung tidak boleh dekat dengan orang seperti ini,” katanya kepada Harvinderjit.

Semalam Tek Kuang mengakui telah bertemu Jho Low di rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Langgak Duta pada tahun 2011 namun tidak memperincikan pertemuan tersebut.

Ketika Harvinderjit bertanya tentang pengesahan adakah Joanna Yu yang merupakan Pengurus Perhubungan Ambank berhubung terus dengan Jho Low dan Najib, Tek Kuang tidak tahu mengenainya.

Harvinderjit juga bertanya apakah model telefon bimbit yang digunakan oleh Tek Kuang pada tahun 2011 dan pada masa ini sama ada jenis Blackberry atau Samsung serta adakah ia hadiah daripada Jho Low.

Bagaimanapun Tek Kuang mengatakan dirinya bukanlah seorang yang begitu teruja dengan telefon malah ketika ini hanya menggunakan telefon bimbit jenis Nokia.

Tek Kuang juga bertanya sekiranya Harvinderjit mahu melihat telefon bimbit Nokia yang sedang digunakan olehnya pada masa kini.

Lelaki itu menyatakan dia membeli sendiri telefon itu dan tidak menerima hadiah telefon daripada Jho Low. – MalaysiaGazette