Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada majlis Pelancaran Aplikasi Telefon Pintar Respons Rakyat di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menunjukkan persepsi rakyat terhadap keseriusan kerajaan telah meningkat sebanyak 11 peratus daripada 59.8 peratus pada tahun 2016 kepada 70.8 peratus pada tahun lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan turut dimaklumkan berdasarkan indikator-indikator antarabangsa, Malaysia turut mencatatkan peningkatan menerusi
Edelsmann Trust Barometer Global yang menunjukkan tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan meningkat kepada 60 pada tahun 2019 berbanding 46 pada tahun 2018.

“Menerusi indakator Asian Corporate Governance Association (ACGA), kedudukan Malaysia di dalam Corporate Governance Watch naik tiga anak tangga daripada tempat keempat pada tahun 2016 ke tangga keempat pada tahun lalu.

“Selain itu Economist Intelligence Unit (EIU) mendedahkan Indeks Demokrasi 2019 naik ke tempat 52 berbanding 59 pada tahun lalu manakala Indeks Kebebasan Media 2019 meletakkan Malaysia di tangga pertama di kalangan negara-negara Asia Tenggara dan berada di tangga 123 berbanding 145 negara di dunia.

“Selain itu, World Bank Ease of Doing Business mengumumkan kedudukan Malaysia meningkat sembilan tangga daripada tangga ke-24 pada tahun lalu dan naik ke tangga 15 pada tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah Kali Ke-9 di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, terdapat juga beberapa perkara dasar yang telah berjaya dilaksanakan kerajaan antaranya tiada perlantikan ahli parlimen sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah dalam syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) kecuali membabitkan Khazanah Nasional Berhad.

Kata beliau, ia berbanding sebelum ini apabila syarikat GLC utama kerajaa seperti Tabung Haji, MARA dan Felda FGV diterajui oleh ahli parlimen kerajaan sehingga mengakibatkan kerugian yang besar sehingga hari ini.

“Setakat ini tiada lagi perolehan secara rundingan terus dibuat bagi projek-projek pembangunan fizikal di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kini JKR melaksanakan kaedah tender terbuka 100 peratus bagi semua projek pembangunan fizikal RMKe-11.

“Ini adalah jauh lebih baik apabila pada tahun 2017 hanya 30 peratus sahaja yang dibuat melalui tender terbuka dan 58 peratus tender terhad manakala 12 peratus secara rundingan terus,” katanya.

Mahathir menambah kewibawaan institusi Parlimen turut dapat dikembalikan apabila Yang di Pertua Dewan Rakyat yang dilantik telah meletak jawatan daripada jawatan politik dalam parti dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilantik dari kalangan parti pembangkang.

“Pendedahan maklumat yang lebih telus kepada umum seperti laporan Kertas Putih FELDA, Tabung Haji dan laporan Siasatan Projek Land Swap Kementerian Pertahanan dibentangkan di Dewan Rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette