Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan video seks yang menyasarkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mewujudkan perpecahan dalam parti berkenaan ekoran berlaku ‘pemikiran aliran’.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang mengakui perkara tersebut memberitahu, perbalahan mengenai perkara tersebut hanya akan merugikan dan sudah tiba masanya untuk pemimpin bersatu memperkukuhkan parti.

“Sentiasa ada persepsi wujud keretakan dalam parti melibatkan timbalan presiden parti dan presiden. Ada di antara kami yang datang dari perspektif dan pemikiran berbeza. Jadi, saya rasa sudah tiba masanya untuk kita bersama.

“Saya rasakan media sudah memainkan perkara ini (perpecahan dalam PKR) sentiasa, jadi jangan tanya saya sekarang. Sudah tentu ada persepsi dan media yang menghangatkan lagi.

“Tetapi, saya rasakan ia (perpecahan) berlaku. Bagi saya, disebabkan isu ini, ini adalah peluang untuk kita bersatu dan mengelak daripada keretakan,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, seramai 22 Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan empat ahli Parlimen PKR menegur Anwar berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan perpaduan parti dalam isu video lucah yang dikaitkan dengan Azmin.

Tindakan Anwar itu dianggap ‘memecah belahkan kesatuan parti’ apabila beliau menasihatkan Mohamed Azmin supaya bercuti jika terbukti beliau terbabit dalam video seks sejenis yang tersebar bulan lalu sedangkan siasatan terhadap kes itu masih dilakukan oleh pihak polis.

Antara pemimpin PKR yang membuat teguran terhadap Anwar iaitu Zuraida, Xavier Jayakumar, Tian Chua, Amirudin Shari, Saifuddin Abdullah, R Sivarasa dan Maria Chin Abdullah.

Zuraida turut memberitahu sudah menghubungi Anwar untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dalam isu Mohamed Azmin.

“Saya sentiasa rasakan tujuan saya melibatkan diri dalam pemilihan parti adalah untuk kukuhkan parti, tetapi parti tidak bergerak ke arah sewajarnya, jadi ia mengecewakan saya,” ujarnya.

Pada masa sama, Zuraida meminta Anwar menjelaskan sebab penahanan setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi membantu siasatan polis dalam kes video seks sejenis.

“Kita serahkan kepadanya, sekarang ini kita sudah buat teguran berhubung situasi yang berlaku pada ketika ini.

“Kita serahkan kepadanya memandangkan beliau merupakan presiden parti,” tambah beliau. – MalaysiaGazette