Sesi fotografi bersama pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof dan anaknya, Zareef Yusof pada sidang media mengenai dakwaan pihak polis menafikan anaknya, Zareef Yusof terbabit dalam kemalangan di Simpang Empat Parit Gambut, Sungai Besar pada 11 Julai lalu di Finas Hulu Kelang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan anak kepada pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof memang terbabit dalam insiden kemalangan di Jalan Haji Dorani, Sungai Besar, pada 11 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Lim Chee Khoon berkata, kenyataannya kepada media pada hari kejadian yang menimbulkan kekeliruan adalah hasil maklumat awal yang diterima pihak polis.

“Ketika kenyataan awal yang dibuat bagi menjawab pertanyaan pihak media itu, siasatan masih belum selesai pada hari kejadian tersebut dengan polis masih lagi dalam proses mengambil keterangan daripada mangsa dan juga saksi-saksi kemalangan.

“Bagaimanapun selepas siasatan lanjut lengkap, polis mendapati ada seorang kanak-kanak bernama Zareef Idris Yusof telah dibawa ke hospital yang kemudiannya dikenal pasti sebagai anak Eizlan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Selasa lalu, Eizlan menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menjejaskan reputasi diri dan keluarganya berikutan penafian polis yang anaknya terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md. Yusof, 48, berkata, kenyataan polis menafikan anak lelakinya terbabit dalam kemalangan itu telah memberikan gambaran yang dia seorang penipu.

Dalam pada itu, Chee Khoon berkata, polis sentiasa menjalankan setiap siasatan secara teliti dan telus mengikut prosedur siasatan yang telah ditetapkan.

“Sehubungan itu kertas siasatan sedang disiapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette