Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada retreat pimpinan PKR di Grand Lexis Hibiscus, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JULAI 2019

PORT DICKSON – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh menyatakan dirinya tidak percaya parti naungannya kini meminta nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Macam tak percaya, PKR minta pandangan Dr. Mahathir,” katanya sambil tersenyum sebelum menyerahkan pentas kepada Pengerusi PH itu merasmikan Temu Rapat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Sesi 2018/2019 yang berlangsung di sini malam ini.

Anwar juga didengar masih memanggil Mahathir sebagai sir (tuan).

Sir, you love this country. Keghairahan untuk (menjaga) negara ini sangat kuat,” katanya lagi.

Anwar dipercayai merujuk kepada penglibatan semula  Mahathir ke dalam arena politik sehingga mampu mengubah lanskap dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Mei tahun lalu.

Beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1998 sebelum dipecat Mahathir semasa kedua-dua dalam UMNO dan BN.

Bulan lalu, Mahathir mengulangi pendiriannya untuk memberikan kuasa kepada Anwar selaku Perdana Menteri Kelapan seperti yang disepakati oleh Pakatan Harapan. -MalaysiaGazette