Ayat suci al-Quran dikongsi Azmin Ali sempena sembayang jumaat hari ini dalam twitter beliau tengahari tadi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memetik sebaris ayat suci al-Quran yang diterjemahkan maksudnya kepada pengikut akaun Twitter untuk tatapan umum.

Timbalan Presiden PKR yang sedang berdepan tuduhan fitnah hubungan seks sejenis berkongsi mesej al-Quran yang menjelaskan mengenai pentingnya menolak tuduhan dusta dan berbaik.

Ia merupakan ayat 12 daripada Surah An-Nur bersempena solat Jumaat dengan hashtag #TwitJumaat#JumaatSA atau #Sayyidul Ayyam yang membawa maksud Penghulu segala hari.

Ayat terjemahan itu berbunyi “Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata:” Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.(An-Nur:12)#JumaatSA.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu kini berdepan tekanan daripada pucuk kepimpinan yang mana beberapa pemimpin dan penyokong mula mendesak beliau letak jawatan atau bercuti sementara siasatan berlangsung.

Video skandal itu yang tersebar sejak Jun lalu mengejutkan pelbagai pihak sebelum Ketua Pemuda PKR Santubong, Muhammad Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui dia bersama seorang individu menyerupai Azmin dalam video itu didakwa dirakam di Sabah.

Haziq kemudian dipecat sebagai Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama dan keanggotaan dalam parti selepas surat tunjuk sebab selama 14 hari oleh Lembaga Disiplin PKR awal Julai ini.

Mohamed Azmin pula menafikan beliau merupakan individu itu dan mendesak polis menyiasat pihak yang cuba menjatuhkan reputasi serta membunuh karier politiknya dengan tuduhan jijik dan keji itu.

Rentetan itu, Haziq bersama lima lagi individu dan Pengerusi Pimpinan PKR negeri Perak Farhash Wafa ditahan Ahad lalu dan direman enam hari.

Bagaimanapun kecuali Haziq dan Farhash yang dijangka sambung reman esok, lima individu lain dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Semalam Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam kenyataan berkata siasatan polis mendedahkan wujud pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin sebuah parti politik melibatkan upah ratusan ribu ringgit menghasilkan video itu untuk mengaib dan merosakkan imej dan reputasi Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR.

Abdul Hamid juga mengesahkan hasil siasatan polis dan analisa CyberSecurity mendapati video intim itu adalah tulen.- MalaysiaGazette