KUALA LUMPUR –  Saham-saham di Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi selepas tiga hari mencatatkan kerugian disebabkan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat akan dinaikkan.

Pada 9.03 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.71 mata kepada 1,653.64 selepas ditutup pada 1648.93 semalam.

Indeks dibuka 0.62 mata lebih tinggi pada 1,649.55 hari ini.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 177 berbanding 55 manakala 161 kaunter tidak berubah, 1,558 tidak diniagakan dan 18 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 99.93 juta unit bernilai RM25.44 juta.

Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan berkata pembuat dasar AS berpendapat keputusan untuk mengurangkan kadar faedah pada masa ini, sebagai langkah bijak, dengan ekonomi global menunjukkan tanda-tanda tertekan.

“Hari ini adalah hari terakhir bagi para pembuat dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk membuat kenyataan sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 30-31 Julai,” katanya.

Bank-bank pusat di seluruh dunia telah mengurangkan kadar faedah, sementara yang lain sedang mempertimbang untuk berbuat demikian, termasuk negara-negara Asia selari dengan kelembapan ekonomi global.

Sementara itu, indeks penanda aras dijangka bergerak antara 1,636 hingga 1,660 hari ini, dengan paras sokongan pada aliran menurun pada 1,636 dan 1,620.

Antara saham wajaran tinggi yang mencatatkan keuntungan ialah Sime Darby Plantation yang naik 15 sen kepada RM4.85, Tenaga Nasional meningkat 12 sen kepada RM13.54, IHH menokok empat sen kepada RM5.80, Digi naik dua sen kepada RM4.96 dan MISC naik satu sen kepada RM7.29.

Bagi saham untung, Petronas Gas meningkat 14 sen kepada RM16.94, Complete Logistics naik 12.5 sen kepada 93.5 sen, Widetech menokok enam sen kepada 60 sen, manakala Top Glove, Can-One dan Public Bank masing-masing naik empat sen kepada RM4.69, RM3.40 dan RM22.90.

Indeks FBM Emas meningkat 25.74 mata kepada 11,741.99 dan Indeks FBMT 100 naik 27.26 mata kepada 11,571.17.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 38.46 mata kepada 12,104.12, FBM 70 naik 11.51 mata kepada 14,801.50, manakala FBM Ace turun 42.19 mata kepada 4,636.76.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 12.76 mata kepada 16,565.43 dan Indeks Perladangan naik 55.34 mata kepada 6,876.46, manakala Indeks Produk & Perkhidmatan Industri susut 0.20 mata kepada 155.13. – MalaysiaGazette