Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul (tengah) bersama pengerusi negeri yang lain menunjukkan borang yang telah ditandatangan sebagai tanda sokongan penuh terhadap presiden mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat Pengerusi-Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2019.

PETALING JAYA – Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri (MPPPN-PKR) yang ditubuhkan hari ni membuat ketetapan menyokong sepenuhnya presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Penyelaras majlis berkenaan, Datuk Johari Abdul, berkata pihaknya menyokong penuh usaha keras Anwar untuk membangunkan parti dan menjadikan Parti Keadilan Rakyat sebagai parti kuat dan dihormati

“Kami berdiri teguh di belakang beliau (Anwar) dalam menghadapi apa jua cabaran dan dugaan jika ada usaha pihak-pihak yang mahu melemahkan parti,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Pusat parti itu di Tropicana tengahari tadi.

Dalam sidang media itu juga, enam pengerusi PKR mewakili  Kedah (Johari); Amran Kamarudin (Perlis); Halim Bachik (Melaka); Azan Ismail (Terengganu), Zahir Hassan (Wiliayah Persekutuan); dan Kelantan Datuk Seri Mohamad Supardi Md menzahirkan sokongan terus kepada Anwar.

Surat sokongan yang mengandungi tandatangan keenam-ennam wakil negeri itu dipamerkan kepada media.

Menurut Johari, pihaknya juga memberi komitmen tanpa berbelah bahagi kepada Anwar dalam usaha beliau memimpin negara ke tahap yang diharapkan oleh rakyat.

“Kami yakin Anwar Ibrahim seorang pemimpin yang akan menunaikan janji-janji parti kepada rakyat semasa pilihanraya yang lalu dan kami akan bersama-sama beliau memastikan semua perkara berkenaan terlaksana,” tegasnya.

Ditanya sokongan itu melibatkan kesemua pengerusi 14 buah negeri, Johari berkata, setakat ini hanya enam menandatangani surat sumpah menyatakan sokongan itu.

“Insyallah, ada yang telah membrikan sokongan akan menandatangani dan ada dua tiga orang lagi belum dapat dihubungi lagi.

“Tapi insyallah sebaik sahaja mereka sampai ke perjumpaan 7 petang ini bersama Anwar di Port Dickson semua tandatangan akan dilengkapkan dan dimuat naik di dalam laman web rasmi parti untuk tatapan umum.

“ereka sudah beri komitmen untuk tandatangan termasuk Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shaari,” katanya.- MalaysiaGazette