Pengarah JSJ Bukit Aman,Komisioner Datuk Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis akan memohon perintah sambung reman terhadap tiga suspek utama dalam kes penyebaran Video seks kontroversi mengaitkan seorang individu menyerupai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, polis akan mencuba menyambung reman di mahkamah terhadap Ketua Pemuda PKR Santubong, Muhammad Haziq Abdullah Abdul Haziz dan Pengerusi Pimpinan PKR Perak, Farhash Wafa serta seorang lagi individu esok.

Manakala lima lagi individu yang ditahan reman pada Ahad lalu telah dibebaskan semalam.

“Lima orang daripada mereka yang ditahan bersama Haziq berhubung video seks telah dibebaskan semalam. Tiga orang lagi (termasuk Haziq dan Farhash) masih dalam tahanan polis,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Beliau ditanya sama ada Haziq dan dua lagi individu akan disambung reman memandang tempoh reman mereka berakhir Sabtu esok.

“Kami akan cuba pohon perintah sambung reman esok di mahkamah nanti,” tegasnya tanpa mengulas lanjut.

Haziq ditahan reman selama enam hari sejak Ahad lalu bersama dengan Farhash dan seorang lagi individu yang ditahan dalam kes tersebut.

Farhash yang juga merupakan Pengerusi PKR Perak ditangkap bersama dua lagi suspek di Pasir Gudang Johor pada Selasa lalu.

Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam kenyataan berkata, siasatan polis mendedahkan wujud pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin sebuah parti politik untuk mengaib dan merosakkan imej dan reputasi Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR.

Abdul Hamid juga mengesahkan hasil siasatan polis dan analisa CyberSecurity mendapati video intim itu adalah tulen.

Namun katanya gagal mengecam muka untuk menentukan individu bersama Haziq melakukan aksi luar tabii dalam video itu yang mencetuskan kontroversi politik sejurus selepas sambutan Aidilfitri awal Jun lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast