KUALA LUMPUR – Bekas pemain import Kedah, Liridon Krasniqi semakin hampir menjadi pemain naturalisasi Harimau Malaya selepas memiliki visa kerja di negara ini.

Melalui Instagram Story miliknya, Liridon berkongsi visa kerja yang dikeluarkan di Pejabat Imigresen Melaka.

“Cukup 5 tahun di Malaysia, sekarang menanti proses akhir ,” tulis Liridon melalui perkonsian itu hari ini.

Gambar yang dimuat naik itu adalah visa yang membenarkan dia bekerja di negara ini dan bukan pasport Malaysia seperti yang disangka ramai.

Namun difahamkan permohonannya untuk memperoleh taraf kewarganegaraan kini mungkin sudah berada pada fasa akhir.

Pada Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi mengesahkan skuad Harimau Malaya bakal diperkuatkan oleh beberapa orang lagi pemain naturalisasi selepas Mohamadou Sumareh.

Pada Jun lalu, Liridon Krasniqi dan juga penyerang utama Kuala Lumpur iaitu Guilherme De Paula disahkan oleh FAM akan menjadi pemain kedua dan ketiga yang dinaturalisasikan untuk skuad kebangsaan. – MalaysiaGazette