Leroy Sane

LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui dia tidak sanggup kehilangan pemain sayap lincah, Leroy Sane di Etihad musim hadapan.

BBC melaporkan, bekas jurulatih Barcelona itu berkata, City akan berdepan kerugian kerana kelab itu mampu untuk menggilap lagi bakat pemain antarabangsa Jerman itu ke tahap yang lebih tinggi.

“Sudah pasti, saya berharap semua pemain gembira di sini dan pastinya kami tidak boleh kehilangan Sane yang berpotensi untuk menjadi pemain sayap hebat pada masa akan datang.

“Saya percaya City adalah pasukan yang mampu mengembangkan bakat Sane pada tahap yang sepatutnya,” kata Guardiola.

Bayern Munich kini dikaitkan untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 23 tahun itu selepas Sane dikatakan tidak gembira di City ekoran kekurangan peluang beraksi dalam skuad utama.

Ketika ini skuad City termasuk Sane sedang beraksi pada perlawanan pramusim di Shanghai, China yang menyaksikan West Ham United menjadi pasukan pertama dibelasah 4-0 pada aksi Trofi Asia Liga Premier awal pagi semalam.

The Citizens itu akan beraksi pada perlawanan menentang Wolverhampton pada aksi terakhir kejohanan tersebut esok. – MalaysiaGazette