Keadaan aliran Sungai Kim Kim yang tercemar dipercayai akibat pembuangan sisa toksik di Taman Kota Masai Cermai, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 15 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Insiden terbaharu membabitkan 39 orang pelajar di lima sekolah di Pasir Gudang semalam didakwa menunjukkan kegagalan Menaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam mengurus tadbir tragedi pencemaran alam sekitar di kawasan itu yang sudah berlarutan selama empat bulan.

Sehingga hari ini, Yeo didakwa sekadar membuat kenyataan bahawa kementerian, jabatan alam sekitar dan kerajaan negeri menggiatkan langkah penguatkuasaan ke atas kilang-kilang di Pasir Gudang.

Malangnya, sehingga hari ini hanya langkah reaktif yang dilaksanakan dengan memberikan alat pengesan gas kepada sekolah-sekolah di Pasir Gudang pada awal bulan Julai.

Namun, insiden sama terus berulang menyaksikan bahawa langkah ini bukanlah langkah penyelesaian kepada tragedi ini, kata Dewan Pemuda Ikatan Malaysia.

Lantaran itu, kementerian berkenaan digesa mengambil langkah drastik untuk menghukum pengusaha kilang-kilang yang menjadi penyebab masalah pencemaran ini.

“Biar masalah diselesaikan hingga ke akarnya. Jabatan Alam Sekitar telah mengenalpasti tiga kilang mengeluarkan gas berbahaya melebihi paras dibenarkan. Seharusnya tindakan tegas perlu diambil sekarang, bukan dilambat-lambatkan.

Semalam, 39 orang lagi pelajar diberi rawatan kerana mengalami sesak nafas dan muntah.

Insiden terbaru yang berlaku sekitar Masai sememangnya berkait dengan masalah pencemaran alam sekitar, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan, Shahir Adnan.

Menurutnya, fakta menunjukkan Sungai Masai adalah sungai yang dikelaskan sebagai “Sungai Mati” atau Sungai
Kelas V.

Sungai Mati merujuk kepada sungai yang paling buruk dan tidak selamat untuk sebarang penggunaan.

“Dewan Pemuda Ikatan menggesa Yeo menghukum dan memberhentikan kilang-kilang yang melepaskan gas-gas berbahaya yang melepasi paras dibenarkan.

“YB Yeo juga perlu mengambil langkah drastik tanpa memilih bulu demi anak-anak di sekolah. Anak-anak kita adalah keutamaan, bukan pengusaha kilang,” katanya yang mahu tumpuan juga harus diberikan untuk memelihara sungai yang masih bersih dan memulihara pembangunan setempat. – MalaysiaGazette