Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad.

KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan entiti seperti Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) di Singapura dalam menangani masalah pemilikan perumahan nasional yang kritikal pada masa ini.

Menurut bekas Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, kerajaan perlu mempercepatkan keputusannya mengenai Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bagi mencapai tujuan itu.

“Sebelum ini telah diumumkan satu penelitian wajar akan dilakukan dan keputusan mengenai masa depannya akan dibuat.

“Bagaimana pun, tarikh yang dijanjikan telah berlalu dan kita masih menanti perkembangannya dengan penuh debaran.

“Apa sahaja keputusannya kelak, sasaran untuk mereka berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri tidak akan dapat tercapai tanpa campur tangan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iskandar selaku ketua penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat & Perumahan (REACH) berkata, walaupun pemaju perlu berperanan, namun pembinaan rumah mampu milik mestilah diterajui oleh Kerajaaan Persekutuan

“Rumah mampu milik tidak harus dilihat sebagai bahan komersial semata-mata. Pulangannya kepada kerajaan kelak bukanlah dalam bentuk kewangan.

“Sebaliknya pulangan berbentuk wujudnya warganegara bahagia, makmur, sejahtera dan efisien hasil dari tempat tinggal yang sempurna. Malah HDB di Singapura juga menerima suntikan dana daripada kerajaannya.

“Sehubungan itu, pelantikan individu korporat dengan pemahaman terbatas terhadap permasalahan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk menerajui entiti ini adalah tidak wajar sama sekali,” katanya.

Iskandar juga berkata, Kerajaan Negeri Selangor antara contoh di mana telah mewajibkan pemaju rumah dengan projek melebihi keluasan tertentu menyediakan peratusan tertentu rumah mampu milik yang berharga dari RM42,000 ke RM220,000 seunit.

“Polisi tersebut berjaya meningkatkan stok rumah mampu milik tetapi banyak pemaju melaporkan ianya membebankan dan menyebabkan mereka mengalami kekangan kewangan.

“Polisi tersebut memerlukan pemaju-pemaju menanggung sebahagian dari kos pembinaan rumah mampu milik tersebut memandangkan harga tanah dan kos pembinaan sering kali lebih tinggi dari harga jualan yang diluluskan,” katanya.

Katanya lagi, keadaan ini menyebabkan wujudnya dakwaan di mana pemaju-pemaju telah menaikkan harga rumah bukan mampu milik untuk menampung tanggungan mereka itu.

“Akhirnya ia menjadi kes pembeli rumah yang menanggung pembeli rumah yang lain dan bukan pemaju seperti yang dihasratkan.

“Sama ada dakwaan ini benar atau tidak, keseluruhan beban tidak harus diletakkan ke atas pemaju-pemaju swasta semata-mata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette