KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 26 Ogos ini untuk pengurusan kes seorang penyanyi wanita Zarith Sofia yang menghadapi dua pertuduhan menyimpan dan mengurung seekor anak beruang Matahari jantan di rumahnya di Desa Petaling, bulan lepas.

Hakim Manira Mohd Nor menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes tersebut hari ini.Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamim Abd Manan memberitahu mahkamah dokumen lengkap berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Oleh itu mohon satu tarikh untuk pengurusan kes itu dan juga bagi membolehkan pihak pembelaan untuk memfailkan representasi jika ada,” katanya.

Bekas peserta program realiti yang dikenali sebagai Pia itu diwakili oleh peguam Tan Jiin Hock.

Pada 12 Jun lepas, Zarith Sofia Yasin, 27, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan seekor beruang Matahari (Herlactos Malayanus), hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, tidak matang, tanpa permit khas.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 69(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu turut didakwa mengurung beruang berkenaan di dalam premis yang tidak sesuai atau kondusif bagi keselesaan atau kesihatan hidupan liar tersebut mengikut Seksyen 86(1)(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah unit rumah Kondominium Sentrio Pandan, Desa Pandan di sini pada 8 malam, 6 Jun lepas. – BERNAMA