Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low.
Low Taek Jho

KUALA  LUMPUR – Wang lebih RM48 juta yang dirampas daripada tujuh akaun bank milik Tan Sri Larry Low Hock Peng – bapa ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low disifatkan tidak adil dan menggunakan ‘undang-undang rimba’.

Walaupun mahkamah telah memberikan tempoh tiga bulan bagi pihak responden untuk menuntut wang berkenaan yang telah disita kerana dipercayai hasil penyewelengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak ada sesiapa berkepentingan hadir.

Bagaimanapun, jurucakap Jho Low yang mengeluarkan kenyataan hari ini, Benjamin Haslem membidas keputusan mahkamah dan menyifatkan ianya hasil regim pentadbiran kerajaan Tun Mahathir Mohamad bermotifkan keuntungan politik semata-mata.

“Terang lagi bersuluh, tidak akan ada perbicaraan yang adil di Malaysia di mana sikap pilih kasih serta salahguna kuasa khasnya politik sehingga sudah tidak ada keadilan.

“Rampasan aset yang dilakukan hari ini merupakan satu keputusan dari prosiding tidak sah yang dibawa oleh rejim Mahathir yang bermotif politik serta sudah menggelapkan antara kuasa kuasa eksekutif dan kehakiman negara.

“Rampasan lain seperti percubaan menyita rumah keluarga Low baru-baru ini yang telah menjadi milik keluarga mereka selama lebih 20 tahun sudah membuktikan rejim Mahathir,” katanya.

Haslem yang juga mewakili Jho Low sebagai penasihat undang-undang menambah, walaupun sudah berjanji mahu mempertahankan hak asasi manusia atau kedaulatan undang-undang namun sebenarnya ia tidak di penuhi.

Pagi tadi, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang memerintahkan wang itu dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia selepas Timbalan Pendakwa Raya Aaron Abilash Paul Chelliah selaku pemohon memaklumkan tiada pihak ketiga yang hadir ke mahkamah untuk menuntut wang berjumlah RM48,979,500.67 itu.

Larry Low

Pada 29 Mac, kerajaan memfailkan tindakan pelucutan sivil untuk membekukan tujuh akaun bank milik Larry Low dengan mendakwa ia adalah hasil daripada kegiatan pengubahan wang haram.

Notis penyitaan bertarikh 17 Januari 2019 yang ditujukan kepada Goh Gaik Ewe, 66, ibu Jho Low, dikeluarkan mengikut Subseksyen 51 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001. –MalaysiaGazette

Lebih RM48 juta wang milik bapa Jho Low diserah kepada kerajaan