Studio Kyoto Animation yang terbakar. foto Agensi

TOKYO – Sekurang-kurangnya 33 orang mati dan berpuluh-puluh cedera selepas seorang lelaki bertindak membakar sebuah studio animasi di bandar raya Kyoto.

Kebakaran berlaku selepas suspek berusia 41 tahun didakwa memecah masuk studio animasi Kyoto pada pagi Khamis dan menyimbah petrol sebelum membakarnya.

Suspek yang cedera telah ditahan dan dibawa ke hospital.

Bomba berkata, pihaknya menemui 33 mayat – dua di tingkat satu, 11 di tingkat dua dan bakinya di tangga dari tingkat tiga hingga tingkat paling atas.

Manakala 36 lagi dikejarkan ke hospital.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe menyifatkan kejadian itu “terlalu ngeri untuk diungkapkan”.

Ini adalah salah satu insiden keganasan yang paling buruk di Jepun sejak Perang Dunia Kedua.

Kyoto Animation yang dikenali sebagai KyoAni, menghasilkan filem dan grafik nobel dan dihargai oleh peminat-peminatnya kerana kualiti penghasilannya.

Kebakaran itu berlaku pada bangunan tiga tingkat itu kira-kira pukul 10.30 pagi Khamis.

Pihak bomba mengambil masa lima jam untuk mengawal kebakaran dan pada ini operasi menyelamat masih dijalankan.

Polis turut menemui beberapa pisau di tempat kejadian.

Hubungan suspek dan syarikat itu masih belum jelas.

Kakitangan Kyoto Animation berkata, kebakaran itu telah menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan paling atas kerana ia hampir runtuh.

Difahamkan seramai 70 orang berada di dalam bangunan itu semasa kebakaran berlaku. – MalaysiaGazette