Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha premis makanan dalam masa terdekat sebelum membuat keputusan berhubung cadangan penyediaan ruang khas merokok susulan larangan merokok di semua premis makanan mulai 1 Jan depan. 
Gambar hiasan

KANGAR – Akibat terlelap ketika merokok, seorang buruh tidak menyedari puntung rokoknya yang masih menyala telah menyemarakkan api yang membakar rumahnya dan hampir meragut nyawanya sendiri.

Mangsa kebakaran, Khairul Arnizar Embi, 35 berkata, sebelum kejadian beliau baru sahaja pulang ke rumahnya di pangsapuri Sri Sena di sini pada 1.50 petang dan berehat di ruang tamu rumahnya sambil merokok.

Khairul Arnizar berkata, ketika itu beliau terlelap tanpa memadam api rokoknya. Beliau tersedar apabila terhidu bau asap dan mendapati ruang tamu rumahnya terbakar serta dipenuhi asap lalu terus keluar menyelamatkan diri.

“Saya menyesal kerana terlepas puntung rokok sebab terlelap. Jadi, saya tak sempat nak selamatkan apa pun barangan dalam rumah,” katanya kepada pemberita dengan nada sedih.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana api tidak merebak ke rumah jirannya.

Beliau tidak dapat menganggarkan jumlah kerugian ditanggung dan kini terpaksa menumpang di rumah ibu saudaranya di blok pangsapuri yang sama.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perlis, Mohd Khairull Rizall Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.58 petang mengenai unit pangsapuri yang terbakar itu.

Beliau berkata, seramai 10 anggota dan tiga jentera bomba bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan.

“Unit pangsapuri itu terbakar kira-kira 70 peratus. Punca kebakaran dan anggaran kerugian sedang disiasat,” katanya. – MalaysiaGazette