Presiden dan CEO Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin menyerahkan tajaan kepada salah seorang penerima biasiswa PESP. Foto: Petronas

KUALA LUMPUR– Petronas menganugerahkan biasiswa kepada 291 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan mereka menyambung pengajian ke peringkat universiti sama ada di dalam atau luar negara.

Mereka merupakan sebahagian daripada 400 penerima biasiswa di Program Tajaan Pelajaran Petronas (PESP) tahun ini dengan jumlah keseluruhan tajaan bagi 2019 adalah sebanyak RM156 juta.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, syarikat petroleum negara itu akan tetap menjadikan pelaburan bakat sebagai keutamaan meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global dan penurunan harga minyak.

“PESP adalah bukti komitmen berterusan Petronas dalam membangunkan bakat-bakat terpelajar dan berkemahiran tinggi.

“Kami percaya pendidikan adalah medium memperkasakan masyarakat dalam menambah baik standard kehidupan mereka di samping membawa negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian biasiswa tersebut di Slim River, Perak hari ini.

Pelajar-pelajar yang menerima tajaan tersebut akan menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang di Universiti Teknologi Petronas serta institusi-institusi pengajian tinggi ternama dunia di Australia, Kanada, China, Jepun, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.- MalaysiaGazette