Pasukan JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Liga Super 2019 selepas perlawanan menentang Terengganu FC dengan kesudahan seri 3-3 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin malam tadi.

KUALA LUMPUR – Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan saingan musim ini dengan mencatatkan keputusan 3-3 menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, malam tadi.

Kejayaan JDT merangkul kejuaraan liga buat enam musim berturut-turut, disambut meriah lebih 5,000 penyokong yang membanjiri Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Penyokong bersorak ketika pemilik kelab JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, barisan pemain, pegawai serta jurulatih skuad Harimau Selatan itu tiba di dataran berkenaan bersama trofi Liga Super dengan menaiki bas khas tanpa bumbung, tepat pada 12 tengah malam.

Dengan keputusan seri itu, JDT berjaya mengumpulkan keseluruhan 53 mata daripada 22 aksi musim ini manakala skuad Penyu sebanyak 30 mata. – MalaysiaGazette