Anthony Loke

SEREMBAN – Pengguna mempunyai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan e-hailing daripada syarikat lain yang turut menawarkan perkhidmatan sama sekiranya berdepan kenaikan tambang, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata, terdapat 31 Syarikat Perniagaan Pengantaraan (EHO) yang menawarkan perkhidmatan e-hailing, sekali gus memberi pilihan kepada pengguna bagi mendapatkan tambang lebih murah.

“Pengguna harus membuat pilihan secara bijak. Jika berlaku kenaikan kadar tambang, mereka ada pilihan untuk mengguna perkhidmatan e-hailing lain yang menawarkan tambang yang lebih murah.

“Kita juga tidak mahu industri ini ada unsur monopoli dan harus ada persaingan. Kalau ada persaingan maka tambang tersebut menjadi murah dan tiada syarikat e-hailing sesuka hati menaikkan harga mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pejabat MyCar Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat syarikat-syarikat yang menawarkan harga yang kompetitif dan pengguna boleh menilai sendiri syarikat dan aplikasi yang mereka pilih.

Terdahulu, Loke dalam ucapannya berkata diharapkan kecekapan operasi MyCar akan terus berada pada tahap optimum dan memberikan persaingan sihat dalam industri e-hailing yang semakin berkembang.

“Ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memberikan perkhidmatan pengangkutan awam darat yang efisien, selamat dan boleh dipercayai.

“Kementerian Pengangkutan sentiasa merangka inisiatif-inisiatif baharu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan di negara ini dan sentiasa terbuka dengan idea-idea yang mampu menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.