Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasukan hoki lelaki dalam dewan negara semakin menghampiri penampilan pertama mereka, di Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2021.

Dengan dua pasukan terbaik Piala Asia Dalam Dewan 2019 lelaki akan layak ke Piala Dunia itu, Malaysia melangkah ke separuh akhir, selepas mengalahkan Thailand 2-1 di Chonburi, malam tadi.

Dalam perlawanan Kumpulan A, Malaysia membuka jaringan melalui Muhamad Aminudin Mohd Zain yang menyermpurnakan pukulan penalti pada minit ke-15, sebelum pemain berusia 24 tahun itu menjadikan kedudukan 2-0, pada minit ke-37 melalui pukulan sudut penalti.

Thailand cuba untuk bangkit melalui gol padang jaringan Warun Boonpea pada minit ke-38, namun gol itu gagal mengubah keputusan akhir.

Selepas mengalahkan Bangladesh 6-0, membelasah Filipina 20-1, sebelum tewas kepada juara bertahan Iran, Malaysia kini berada di tempat kedua dengan sembilan mata, tiga mata di belakang Iran, diikuti Thailand (6), Bangladesh (3) dan Filipina (0).

Malaysia dijadualkan untuk bertemu pasukan teratas Kumpulan B, Kazakhstan pada Sabtu malam, sementara pasukan wanita yang layak ke separuh akhir selepas menduduki tempat kedua Kumpulan B semalam, juga akan berhadapan pasukan wanita dari negara yang sama.

Hanya pasukan yang memasuki perlawanan akhir bagi lelaki dan juara bagi wanita sahaja, akan menempah tiket ke Piala Dunia Dalam Dewan 2021.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara tidak pernah layak bermain di Piala Dunia Dalam Dewan, sejak piala empat tahun sekali itu diperkenalkan pada tahun 2003. – MalaysiaGazette