Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media selepas hadir pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 20 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Zuraida Kamaruddin menyifatkan ketidakhadirannya ke Program Pemukiman PKR di Port Dickson yang bermula semalam bersama-sama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan naib presiden parti itu, Tian Chua hanya kebetulan sahaja.

Naib Presiden PKR itu memberitahu, beliau mempunyai alasan kukuh tidak dapat menghadirkan diri kerana kesibukan persiapan sambutan Hari Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka hari ini.

“Ya..saya sibuk dengan persiapan sambutan Hari Bomba Sedunia.. Lepas ini saya akan ke Surabaya sebab ada program di Surabaya.

“Saya tak tahu.. mungkin secara kebetulan (ketidakhadiran Tian Chua dan Azmin).. mereka mungkin ada alasan tersendiri, seperti saya ada alasan tersendiri seperti program hari ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan hadir pada program itu hari ini memandangkan beliau dan Azmin dijadualkan berucap di majlis tersebut, Zuraida berkata, dia tidak berpeluang ke Port Dickson.

Ini kerana, katanya, beliau perlu bergegas ke Surabaya untuk menghadiri program lain.

“Saya tidak boleh cakap (berucap), lepas ini sebab saya kena ke Surabaya kecuali dibenarkan parti untuk berucap dalam bentuk telesidang secara langsung,” ujarnya.- MalaysiaGazette