Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas hadir pada Perhimpunan Agung Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Maeps Serdang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 20 JULAI 2019.

SERDANG – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyindir veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengeluarkan kenyataan di Dewan Rakyat minggu ini kononnya Pakatan Harapan akan mengalami kehancuran dari dalam.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, Tengku Razaleigh lebih berpengalaman dalam hal tersebut.

“Dia banyak berpengalaman dalam perkara ini khususnya dalam Semangat 46..Dia tahu semua termasuk (nasib) diri sendiri,” katanya secara berseloroh dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di MAEPS Serdang hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dalam kenyataan dua hari lepas mendakwa pergeseran antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) berpecah.

“Ia mungkin. Tetapi bergantung sama ada Anwar atau Azmin memiliki sokongan (yang cukup).

“Berdasarkan apa yang kita baca di media sosial, seperti ada perpecahan dalam parti. Mari berharap kestabilan akan kekal,” ujarnya.

Dalam satu lagi perkembangan, Tun M turut mengulangi pendiriannya beliau akan terus berpegang pada janji yang diberikan iaitu menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya telah berjanji dan akan terus berpegang pada janji itu…Apa jua yang dikatakan oleh orang di luar sana adalah hanya pendapat mereka semata-mata dan bukannya dari saya,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Penulis buku”Anwar PM Ke-8 Shahbudin Husin bahawa tindakan segelintir pihak yang memaksa perdana menteri itu terus berkhidmat sehingga satu penggal umpama mendera pemimpin berusia 94 tahun itu.

“Kalau kita paksa dia bekerja sampai usia 98 tahun, saya rasa macam kita mendera,” katanya di sebuah majlis pelancaran dan perbincangan bukunya di Shah Alam Rabu lalu.- MalaysiaGazette