Ahli Parlimen Port Dikcson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PORT DICKSON – PKR hari ini mengambil pendekatan untuk tidak membuat apa-apa keputusan mengenai desakan agar timbalan presidennya, Datuk Seri Azmin Ali melepaskan jawatannya.

Ia berikutan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang berkata, analisis pakar ke atas video lucah yang sebelum ini dikaitkan dengan seorang menteri tidak dapat mengaitkan pelaku dengan ahli politik berkenaan.

“Saya boleh sahkan bahawa kita sebagai parti tidak akan buat apa-apa keputusan sehingga laporan itu selesai,” kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media pada hari kedua program Temu Rapat Majlis Pimpinan Pusat PKR, hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Hamid bahawa laporan proses pengecaman wajah oleh CyberSecurity Malaysia ke atas video lucah itu yang dibuat adalah negatif.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, kebarangkalian ketulenan video lucah terbabit adalah tinggi.

Dalam pada itu, Anwar berharap polis akan meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan.

“Saya kata terpulang kepada polis untuk buat siasatan. Tapi sebagai ahli dan parti, kami gembira Ketua Polis Negara kata ia adalah negatif (merujuk kepada Azmin),” katanya lagi.

Dalam pada itu, PKR tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli atau pemimpin yang terlibat dalam menyebarkan empat video intim yang dikaitkan dengan Azmin.

“Parti tidak bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas mengikut perlembagaan parti jika terdapat penglibatan mana-mana anggota PKR yang disabitkan kesalahan berlandaskan undang-undang.

“PKR mengulangi prinsip bahawa kami menolak politik jijik sekeras-kerasnya,” katanya lagi.

Pada 17 Julai lalu, ketika mengulas isu klip video seks yang dikaitkan dengan Azmin, Anwar berkata Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu wajar meletakkan jawatan sekiranya terbukti terbabit dengan klip video seks berkenaan.

Membalas kenyataan Anwar, Azmin yang juga anggota parlimen Gombak meminta Anwar “melihat cermin” dan “bermuhasabah”. -MalaysiaGazette