Majlis penubuhan Arrayyan Multitrade Sdn. Bhd. dan prapengenalan dua produk baharu keluarannya berlangsung baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Al Haddad Group menerusi anak syarikatnya, Arrayyan Multitrade Sdn. Bhd. (Arrayyan) merancang untuk memperkenalkan 10 produk baharu secara berperingkat menjelang tahun 2020.

Pengarah Urusannya, Syed Salahuddin Syed Mohd. Mahayadin berkata, pengenalan itu sebagai usaha memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan produk muslim halal.

Beliau berkata, sebagai permulaan, syarikat bakal melancarkan dua produk terbaharunya iaitu minuman Ice Cool Lemon Tea dan air mineral semula jadi pada bulan Ogos ini.

Menurut beliau, Arrayyan juga akan bekerjasama dengan pengeluar bumiputera untuk memasarkan produk-produk lain daripada segmen makanan dan minuman, penjagaan diri, keperluan rumah dan juga barangan basah selain produk daripada buatan kilang syarikat.

“Penubuhan Arrayyan bertujuan memasarkan pelbagai produk keperluan muslim yang berkualiti tinggi, halal dan sihat serta mampu memenuhi keperluan pengguna setiap hari.

“Ia juga bakal dijadikan platform buat syarikat untuk memasarkan produk muslim halal di seluruh pasar raya besar di seluruh negara, pasaran runcit dan eksport serta membekalkan barangan untuk ditawarkan di Al Haddad Mart, rangkaian pasar raya mini milik Al Haddad  Group,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penubuhan anak syarikat baharu, Arrayyan dan prapengenalan dua produk baharu keluaran Arrayyan di Kedah Halal Park Fasa 2, Kawasan Perindustrian Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Al Haddad, Syed Ageel Syed Mohd. Mahayadin. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.