Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas pada temurapat retreat pimpinan PKR di Grand Lexis Hibiscus, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 21 JULAI 2019

PORT DICKSON – Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan beliau mempunyai komitmen lain dan tidak dapat hadir pada Temu Rapat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Saifuddin berkata, perkara itu dinyatakan dalam pertemuan dengan Mohamed Azmin pada Mesyuarat Kabinet minggu lalu.

“Kali terakhir berhubung (dengan Azmin) ialah Jumaat lalu, ketika sesi pertama Pemukiman PKR berlangsung yang mana saya bercakap dengan setiausahanya.

“Azmin kata ada komitmen lain,” katanya selepas menghadiri hari terakhir Temu Rapat PKR hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihaknya telah melakukan yang terbaik dengan menghubungi pegawai dan pejabat Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkenaan sejak beberapa hari lalu bagi memaklumkan mengenai program Temu Rapat itu.

Katanya, usaha lain termasuk memberikan notis supaya Mohamed Azmin dapat menghadirkan diri pada Temu Rapat yang berlangsung sejak Jumaat lalu.

“Majoriti beri sebab kenapa tidak hadir dan dalam kes Azmin, saya berhubung dengan setiausaha dan pegawainya, cuba sebaiknya untuk (pujuk) beliau hadir, tapi gagal,” katanya. -MalaysiaGazette