KUANTAN – Hasrat seorang warga emas melepaskan kenalan laman sosial yang kononnya ditahan pihak imigresen, akhirnya menyebabkan dia kerugian RM18,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Yusof berkata, mangsa yang berusia 63 tahun, mendakwa kenalannya seorang ahli perniagaan di London yang dikenali sekitar Jun lalu, datang ke Malaysia pada 16 Julai lalu.“Mangsa mendakwa dia dihubungi seorang wanita kononnya dari syarikat penerbangan pada 17 Julai menyatakan mangsa ditahan imigresen kerana membawa wang yang banyak.

“Mangsa mendakwa dia diminta untuk membayar jaminan bagi melepaskan kenalannya dengan memindahkan wang ke dalam dua akaun berbeza diberikan suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa bagaimanapun menyedari mungkin ditipu selepas diminta untuk terus membayar wang menyebabkan dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang tukang kebun di Cameron Highlands mendakwa diperdaya untuk membuat bayaran RM12,550 bagi mendapatkan pinjaman RM30,000.

Beliau berkata mangsa, 24, mendakwa dihubungi suspek pada 13 Julai lalu menawarkan pinjaman kewangan dan suspek yang bersetuju, diminta membuat bayaran pemprosesan dua hari kemudian.

“Mangsa juga diarahkan untuk membuka akaun baharu dikatakan untuk tujuan bayaran balik dan diminta untuk membayar deposit untuk enam bulan dan pelbagai bayaran lain sehingga menyebabkan dia berasa ditipu,” katanya. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.