Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Semua pihak di dalam PKR termasuk pimpinan tertinggi perlu menggunakan mekanisme dalaman parti untuk menyelesaikan sesuatu isu tanpa membuat kenyataan secara spesifik kepada media.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bagi membantu meredakan ‘suhu tinggi’ apabila berlaku sesuatu topik hingga menenggelamkan semua kerja baik yang dilakukan parti yang mewakili kerajaan.

Malah, beliau percaya tidak ada kemelut yang tidak dapat diselesaikan melalui proses perbincangan parti kerana PKR menyediakan platform yang cukup untuk semua pimpinan menyelesaikan isu.

“Mereka boleh membincangkan secara terus terang di dalam Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat ataupun memomohon supaya diadakan mesyuarat khas bagi membincangkan satu-satu perkara.

“Pada saya pilihan lebih baik menggunakan mekanisme dalaman parti untuk berbincang apalagi kalau sampai menyampaikan tuduhan ketika pihak polis sedang menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi dingin yang dihadapi oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak beberapa hari lalu.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, setiap anggota parti tidak perlu mendapat arahan atau teguran daripada Lembaga Disiplin parti kerana semua memahami Perlembagaan dan Pekeliling yang dikeluarkan oleh Setiusaha Agung ketika menjadi ahli.

“Yang penting dia tau sebagai ahli parti untuk patuh. Tidak jadi kerjalah kalau Setiauasaha asyik keluarkan pekeliling disiplin. Benda dah ada,” ujarnya.

Dua pemimpin itu tidak bersefahaman dalam kontroversi video seks sejenis dengan Anwar dilaporkan menggesa Azmin melepaskan jawatan sebagai menteri hal ehwal ekonomi, jika terbukti beliau terbabit dalam klip video,

Menyusuli kenyataan Anwar sekumpulan pemimpin kanan PKR mempersoalkan tindakan Anwar yang disifatkan “memecah belah kesatuan parti”.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, analisis menunjukkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi mereka tidak dapat mengenal pasti pelaku dalam video itu.- MalaysiaGazette