Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu mendedahkan ada kalanya beliau terpaksa meminta bantuan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low apabila ada isu dengan akaun bank milik bekas perdana menteri.

Saksi ke-54 itu berkata demikian ketika memberi keterangan balas kepada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berhubung transaksi Ambank milik Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa ada ketikanya melebihi had.

Kata Joanna, selalunya bekas Ketua Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil juga merupakan pemegang amanah akaun Najib, yang kini sudah melarikan diri dan belum ditemui itu jarang sekali melayan panggilan telefon mahupun pesanan daripadanya.

Sehubungan dengan itu, apabila ada had pengeluaran berlebihan dengan baki tidak mencukupi dalam akaun tersebut, jelas Joanna, beliau akan menghubungi Jho Low terlebih dahulu bagi mengelak sebarang cek tendang.

Beliau yang juga mempunyai akses kepada Jho Low akan meminta ahli perniagaan itu untuk membantunya walaupun sebenarnya dia bukan pemegang akaun atau pemegang mandat.

Pemegang mandat untuk akaun ini adalah Nik Faisal yang telah diberikan kuasa oleh bank untuk mengesahkan arahan bertulis namun tidak mempunyai kuasa menandatangani cek mahupun sebarang pengeluaran.

Sithabaram: Boleh anda jelaskan mengapa pula Jho Low yang dihubungi bagi urusan transaksi bank sedangkan dia bukanlah pemegang madat?

Joanne: Benar, Low bukan pemegang mandat bertulis kepada kami namun dia juga merupakan induvidu yang membantu pembukaan akaun bank ini. Dia juga yang membawa Pengarah Urusan kami ke rumah Najib menandatangani borang buka akaun. Dia adalah penghubung sebelum surat mandat dikeluarkan lagi.

Saya juga sebelum itu akan cuba mendapatkan Nik Faisal terlebih dahulu kerana sudah tentu tidak mahu cek yang di keluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia di tendang pula kerana baki tidak cukup. Itu tidak bagus kerana beliau pada masa itu adalah Perdana Menteri kita.

Apabila tidak dapat menghubungi Nik Faisal, maka Jho Low akan bantu dan selesaikan isu khasnya had pengeluaran berlebihan itu.

Joanna juga berkata, hanya setelah Jho Low memberitahu Nik Faisal barulah beliau akan menghubungi dirinya.

“Mungkin beliau tidak selesa bercakap dengan saya. Tapi Jho Low selalunya akan menghubungkan saya dengan Nik Faisal apabila ada isu seperti ini,” ujarnya.

Joanna atau nama penuhnya Yu Ging Ping juga mendedahkan dirinya tidak mempunyai akses secara terus kepada akaun Najib sebaliknya hanya bertindak tidak lebih daripada ‘penghubung’ sahaja. –MalaysiaGazette