Gareth Bale

BEIJING – Kedudukan Gareth Bale di Real Madrid bertambah parah ekoran komen biadab pengurusnya, Zinedine Zidane semalam.

Zidane mendakwa pihaknya sedang bekerja keras untuk ‘menjual’ bintang antarabangsa Wales itu dalam tempoh 48 jam.

Kenyataan itu ternyata menggores hati bekas pemain Tottenham Hotspurs berusia 30 tahun itu sehingga ejennya,  Jonathan Barnett membidas kebiadaban Zidane sebagai memalukan.

Ia seolah-olah memaksa pemainnya meninggalkan kelab segera.

Namun laporan terbaharu di Sepanyol mendakwa sebuah Kelab Liga Super China, Beijing Guoan bersedia untuk ‘menyelamatkan’ karier Bale.

Difahamkan, kelab itu bersedia untuk menjadikan pemain itu berpendapatan tertinggi dalam sejarah bola sepak Liga China.

Beijing Guoan bersedia menawarkan gaji mingguan sejuta pound tanpa cukai sekaligus bakal menyaksikan Bale penerima gaji mingguan tertinggi di dunia.

Paris Saint Germain juga telah membincangkan peluang untuk menandatangani pemain itu memasukkan Neymar dalam bidaan tersebut.

Manchester United yang dikhabarkan berminat dengan khidmat pemain itu bagaimanapun menarik diri.

Jendela perpindahan pemain Liga China akan menutup tirai pada 31 Julai ini.

Kelab gergasi Eropah antaranya Bayern Munich turut menunjukkan minat secara tidak rasmi terhadap Bale.

Ketika ini Lionel Messi dari Barcelona menerima gaji tertinggi di dunia iaitu 900,000 pound seminggu.- MalaysiaGazette