Latheefa Koya. foto IQBAL BASRI, 22 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang menyiasat kes kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai kes tersebut kerana SPRM merupakan entiti yang disiasat polis dalam kes kematian Beng Hock.

“Seperti saya jelaskan, sama ada ia siasatan dalaman atau luaran saya tak boleh komen.

“Ini kerana kami adalah party yang sedang disiasat dalam kes ini, maka kami hanya boleh mengesahkan dan menyatakan kerjasama dengan pihak penyiasat kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisari di Asia Tenggara pagi tadi.

Turut hadi Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasinya Datuk Seri Azam Baki.

Latheefa ditanya tentang desakan Setiausaha Agung parti Gerakan, Mak Kah Keong  supaya SPRM mengendalikan penyiasatan dalaman mengikut undang-undang entiti itu sendiri untuk mencari punca kematian sebenar Beng Hock dalam kejadian pada 2009.

Pada 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja menyimpulkan bahawa Beng Hock ditolak untuk membunuh diri ekoran kaedah siasatan agresif yang dilaksanakan SPRM.

Kah Keong berpendapat kesimpulan itu menghalang polis daripada menyiasat kematiannya.

Beng Hock ditemui mati pada 2009 selepas ditahan untuk siasatan oleh SPRM Selangor.

Pada 2014 pula , Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan mahkamah koroner dalam kes Beng Hock dan memutuskan wujud salah laku pegawai SPRM dalam kematian mangsa dan sejak itu tiada seorang pegawai badan berkuasa itu dituduh dalam kes tersebut.

Pada 22 Julai lalu, Peguam Negara Tommy Thomas pula berkata, siasatan baharu kematian Beng Hock diklasifikasikan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana Salah Tahan/Sekatan dan daripada Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat sebelum ini oleh polis.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/19/sprm-tidak-siasat-kes-kematian-teoh-beng-hock/

https://malaysiagazette.com/blog/2018/10/25/tiada-arahan-ag-untuk-buka-semula-kes-teoh-beng-hock/