Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap dengan sebahagian petugas media pada Majlis Zikir dan Selawat Nurul Anwar di kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon agar semua pihak berhenti mempolitikkan penganjuran majlis keagamaan yang dianjurkan di kediamannya, malam tadi.

Perkara itu disampaikan Setiausaha Politiknya, Tengku Nashrul Tengku Abaidah, dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ia satu tindakan tidak bertanggungjawab apabila mengaitkan majlis yang sering dibuat oleh Anwar sebagai majlis politik.

“Cubaan mengaitkan penganjuran Majlis Zikir dan Selawat di kediaman Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai majlis politik adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan amat mengecewakan.

“Ini hanyalah majlis keagamaan biasa yang dianjurkan setiap hari Ahad malam Isnin sejak enam bulan lalu, sebagaimana tradisinya majlis sama diadakan setiap Khamis malam Jumaat puluhan tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar menjelaskan majlis zikir dan selawat serta solat Maghrib dan Isyak berjemaah malam ini di kediamannya merupakan rutin yang diadakan setiap minggu sejak enam bulan lalu.

Justeru Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, tiada isu yang perlu dipolitikkan kerana ia melibatkan majlis keagamaan.

“Saya tiada mahu komen. Tiada apa-apa. Saya buat majlis ini setiap minggu malam Isnin sejak enam bulan lalu. Tiada isu pun.

“Saya tidak faham semua hendak dipolitik. Ini majlis mengaji dan solat. Nak datang boleh, jemput makan serta boleh solat sekali,” katanya kepada pihak media yang membuat liputan semalam.

Secara kebetulan satu lagi majlis doa kesyukuran membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Shah Alam, semalam. – MalaysiaGazette