JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan pertemuan dengan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH negeri di kediaman Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, di sini, malam tadi.

Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata perjumpaan berkenaan bagi membincangkan pelbagai perkara berhubung peranan mereka sebagai wakil rakyat yang berkhidmat untuk rakyat.

“Beberapa cadangan yang bernas daripada ADUN-ADUN untuk memperbaiki mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat termasuk penyampaian inisiatif-inisiatif peduli rakyat telah mendapat perhatian Menteri Besar Johor dan Exco Kerajaan Negeri Johor.

“Beberapa perkara yang berkaitan dengan peranan kerajaan pusat juga telah mendapat perhatian saya dan Datuk Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga merupakan ADUN Simpang Jeram,” kata beliau, yang juga Menteri Dalam Negeri, dalam satu kenyataan yang dimuat naik pada Facebook rasmi beliau, di sini, sebentar tadi.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir itu berkata perjumpaan seperti itu amat penting untuk memperkukuh muafakat wakil rakyat Pakatan Harapan negeri Johor dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Turut hadir dalam perjumpaan itu ialah Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang, bekas Menteri Besar dan ADUN Kempas Datuk Osman Sapian dan barisan exco kerajaan negeri. – BERNAMA