Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, membuat gimik Pelancaran Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. foto FAREEZ FADZIL, 22 JULAI 2019

SEPANG – ‘Kita yang merancang Tuhan yang menentukan’.

Demikian penjelasan Perdana Menteri mengenai kelewatan pelancaran logo Tahun Melawat Malaysia 2020 hari ini.

Jelas Tun Dr. Mahathir Mohamad, ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh kerajaan.

“Benda (pelancaran) yang macam ini berlaku selalu. Kita boleh rancang tuhan menentukan. Kalau nasib tak baik lambat sikit,” katanya dalam sidang media di Kompleks Bunga Raya hari ini.

Mahathir sebelum itu melancarkan logo kempen Melawat Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada Mac lalu, beliau berkata, logo berkenaan akan dilancarkan pada Mei namun ia ditangguhkan.

Ini kerana logo sedia ada khusus mempromosi Malaysia itu yang dilancarkan bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Chiang Mai Thailand sempena ASEAN Tourism pada awal tahun lalu menerima respons negatif pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, logo itu memaparkan ikon yang sinonim dengan negeri Sarawak iaitu burung kenyalang dan bunga kebangsaan negara, bunga raya dan fauna paku pakis liar yang dilukis dengan motif batik.

Ia sebagai usaha pemasaran dan promosi kempen tahun melawat Malaysia yang jatuh pada tahun hadapan.

Logo ciptaan pereka grafik, Alfred Phua Hong Fook itu telah berjaya mengenepikan beratus-ratus logo yang diterima dari seluruh negara sepanjang tempoh pertandingan yang berlangsung pada awal tahun ini. -MalaysiaGazette