KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,133 kawasan yang melibatkan hampir 1.2 juta akaun pelanggan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat sekali lagi terjejas dengan gangguan air tidak berjadual ekoran pencemaran bau di sumber air mentah di Sungai Selangor

Insiden itu menyebabkan tiga loji iaitu Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 yang terpaksa dihenti tugas sejak malam tadi.

Penutupan ini tidak sampai 24 jam bekalan air disalurkan secara berperingkat-peringkat sejak petang Sabtu lalu selepas mengalami gangguan sama Jumaat lalu.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. berkata, memandangkan insiden ini melibatkan hentitugas 3 loji utama dengan skala kawasan terjejas yang besar, Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan Kod Merah (ERP Kod Merah).

Katanya, insiden ini telah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), selain Unit Bencana Negeri.

“Antara jam 2 hingga 2.30 petang (semalam), pihak kami telah mengesan pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 yang merekodkan bacaan 4 Ton dan menyebabkan ketiga – tiga loji ini terpaksa dihenti tugas.

“Pada jam 5 petang kadar bau di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 3 mencatatkan bacaan bau ton sifar dan telah kembali beroperasi, manakala LRA 1 dan 2 baru sahaja mencatatkan ton sifar pada pukul 7 petang dan dalam proses pengoperasian semula.

“Memandangkan kami dan pihak berkuasa negeri masih tidak dapat mengesan punca pencemaran, insiden ini mungkin boleh berulang. Oleh yang demikian, kami tidak dapat memberikan jangka masa pemulihan bekalan air buat masa ini,” kata kenyataan itu.

Ekoran insiden ini, perancangan bagi kerja – kerja pembaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 yang dijadualkan esok ditangguhkan.

“Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh semua pelanggan akibat insiden ini,” katanya. – MalaysiaGazette