KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd melantik Morgan Stanley untuk meneroka pilihan strategik bagi syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines).

Bank pelaburan itu akan bertanggungjawab untuk melihat pilihan bagi syarikat penerbangan tersebut, termasuk penjualan saham yang berpotensi, menurut sumber.

Katanya, perbincangan itu adalah sulit.

Khazanah, pemegang saham tunggal syarikat penerbangan tersebut, mahu kajian itu siap dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Sayap pelaburan milik kerajaan itu mahu menilai semua pilihan strategi untuk memulihkan prestasi Malaysia Airlines, kata Khazanah yang menjawab persoalan kepada Bloomberg News.

Manakala jurucakap Malaysia Airlines pula enggan mengulas dan meminta perkara itu dirujuk kepada Khazanah.

Malah, Morgan Stanley juga enggan mengulas.

Malaysia Airlines telah melakukan pelan pemulihan sejak Khazanah menjadikan ia sebuah entiti persendirian pada tahun 2014 susulan dua nahas tragis – pesawat MH370 hilang di Lautan Hindi dan MH17 ditembak jatuh di Ukraine.

Walaupun pendapatannya telah meningkat sejak tahun lepas, lebihan kapasiti di Asia dan turun naik faktor luaran termasuk perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China dijangka terus menghambat pertumbuhan syarikat penerbangan tersebut, kata Malaysia Airlines pada Jun lalu.

Khazanah telah meminta Malaysia Airlines kemukakan pelan strategi pada bulan Februari bagi membolehkan ia bersaing dengan industri penerbangan dan mendapat pulangan lebih baik selepas gagal memperoleh keuntungan pada tempoh yang ditetapkan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata, kerajaan sedang mengkaji empat cadangan yang diterima daripada syarikat penerbangan tempatan.

Malaysia Airlines juga berdepan kemungkinan ditutup kerana kerajaan perlu berjimat.

Namun pada masa sama, Dr Mahathir memberi jaminan bahawa nama Malaysia akan dikekalkan jika ia dimiliki oleh syarikat lain.

Selain itu, beliau turut mengakui bahawa usaha memulihkan syarikat itu tanpa menghentikan kakitangan adalah kekangan utama bagi kerajaan kerana ia sukar untuk dilaksanakan. – MalaysiaGazette